Program kali ketiga anjuran bersama Kerajaan negeri dan Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) itu berjaya menghimpunkan hampir 2,000 anak Terengganu yang bekerja dan belajar di sekitar Lembah Klang itu.
Menteri Besar dalam ucapannya berkata, program itu sebagai kesinambungan semangat kerjasama dalam membina ukhwah dengan rakyat Terengganu di luar negeri bersama pemimpin negeri.
“Penganjurannya saban tahun selaras dengan hasrat yang diimpikan Kerajaan negeri untuk melihat anak Terengganu mempunyai hubungan baik sesama mereka dalam usaha mencari rezeki di tempat orang serta melanjutkan pengajian.
“Kesepakatan ini wajar diteruskan dan kami mengharapkan titik pertemuan yang dibuat ini mampu merencanakan pelbagai program untuk kepentingan anak Terengganu yang menetap di sini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Presiden Pesat, Dato’ Ramlan Ibrahim serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tambah Dato’ Seri Ahmad, hubungan erat antara pimpinan Kerajaan negeri dan Pesat membolehkan lebih banyak program mampu dilaksanakan bagi membawa semangat orang Terengganu yang cemerlang dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan sukan.
“Kita mahu ubah minda sebahagian mereka yang berada di luar negeri supaya berasa bangga menjadi rakyat Terengganu kerana kejayaan kita mencipta rekod dan sejarah baru dalam akademik mahupun sukan.
“Apa yang kita lakar hari ini sudah menjadi buah mulut orang dan kita mahu berkongsi kegembiraan itu bersama rakyat Terengganu di mana sahaja mereka berada supaya suatu hari nanti mereka berasa bangga menjadi anak Terengganu,” ujarnya.
Majlis yang dipengerusikan oleh pelakon popular, Dato’ Ahmad Tarmimi Serigar itu seterusnya diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Ahmad Tarmizi Abd. Rahman.
Sejurus selepas itu, Menteri Besar bersama yang lain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih yang diimamkan oleh Imam jemputan dari Timur Tengah, Sheik Mohd. Fathy Mohamed Abdel Gelil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan