Sabtu, 16 Jun 2012

KEMAMAN - Yayasan Terengganu (YT) bakal mengagihkan sebanyak RM1.5 juta kepada 2,572 anak watan Terengganu yang berjaya menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi dan diploma pada tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak RM929,500 diberi kepada 1,851 pelajar matrikulasi yang menerima RM900 setiap orang manakala sebanyak RM542,250 pula kepada 721 pelajar Diploma yang menerima RM750 setiap orang.     Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sumbangan wang tunai itu diharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa bagi peringkat awal kemasukan anak mereka ke pusat pengajian tinggi.     "Kerajaan negeri Terengganu berharap pelaburan besar dalam bidang pendidikan iaitu sejumlah RM340 juta setahun akan melahirkan anak muda yang cemerlang, aset negeri yang meneruskan kegemilangan Terengganu pada masa depan," katanya.     Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Sukan Masiswa Zon Pantai Timur di kampus Kolej Universiti TATI dekat Teluk Kalong di sini hari ini.    Seramai 1,400 pelajar dari 16 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari Pantai Timur menyertai karnival itu dari hari ini hingga Ahad.     Selain itu, Ahmad Razif turut menasihati pelajar IPT supaya memahami isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditimbulkan pembangkang supaya mereka dapat berfikir secara matang dan rasional.     "Kebanyakan pelajar yang mendesak agar PTPTN dihapuskan itu terdiri daripada mereka yang tidak cemerlang di IPT, malah seorang daripada sembilan pelajar di Mesir yang ditarik balik biasiswa oleh YT sebelum ini didapati gagal dalam pelajaran.     "Pelajar yang cemerlang tidak pula terlibat dengan bantahan seumpama itu kerana mereka yang berkelulusan kelas pertama secara automatiknya akan ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...