Sabtu, 16 Jun 2012

Cadang 10,000 lagi rumah rakyat Terengganu KEMAMAN 11 Jun - Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menyediakan manifesto tambahan selain manifesto Pusat bagi menawarkan lebih banyak kebaikan untuk negeri ini dan kesejahteraan hidup rakyatnya. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia termasuk cadangan membina 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun jika BN terus diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak. Beliau menarik perhatian, secara umumnya, kerajaan negeri akan melakukan penambahbaikan terhadap apa yang telah dilaksanakan dan pendekatan baru mengikut kesesuaian keadaan. "Secara prinsipnya, manifesto peringkat nasional akan dipersetujui semua BN negeri tetapi tentulah satu negeri berbeza dengan keperluan di negeri lain. Jadi kita akan menghalusi apa yang boleh dilakukan. ''Kita mahu memperincikan perkara itu supaya kita boleh melaksanakannya sesuai dengan kehendak di peringkat negeri dan menambah perkara-perkara yang ada kaitan dengan Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek perumahan Taman Koperasi Perdana yang dibangunkan Koperasi Pembangunan Daerah (KPD) Kemaman Berhad di Kampung Pasir Minal, Binjai dekat sini kelmarin. Projek di atas tapak seluas 19 hektar itu melibatkan pembinaan 250 unit rumah teres satu tingkat, rumah berkembar setingkat, rumah teres dua tingkat dan banglo dua tingkat. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengerusi koperasi terlibat, Ab. Ghani Azahari. Ahmad berkata, janji-janji itu berdasarkan kemampuan kerajaan negeri untuk menunaikannya dan rumah merupakan salah satu keutamaan untuk diperluaskan bagi memenuhi keperluan rakyat. "Sehingga kini, kira-kira 8,000 unit rumah telah siap dibina dan bakinya akan diteruskan sehingga tahun depan. Selepas itu sebanyak 10,000 unit lagi akan kita bina," ujarnya. Menyentuh mengenai penglibatan koperasi dalam pembangunan hartanah, beliau berkata, mereka perlulah mendapatkan rakan kongsi atau pemaju berwibawa bagi mengelak berlakunya projek terbengkalai. ''KPD Kemaman boleh dijadikan contoh kerana mampu menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan dengan kualiti yang baik," ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...