Rabu, 12 Oktober 2011

SATU BEKAL 2 JUTA LITER AIR BERSIH KE PULAU PERHENTIAN

SYARIKAT Air Terengganu (SATU) mampu membekalkan 2 juta liter air bersih sehari kepada kira-kira 1,600 penduduk di Pulau Perhentian setelah projek bekalan air disiapkan sepenuhnya sejak 15 Mei lalu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri, Dato’ Mat Razali Kassim berkata, projek yang bernilai RM60.75 juta itu turut memberi manafaat kepada lebih 40 pengusaha pusat pelancongan di pulau berkenaan yang menerima kedatangan pelancongan hampir 90,000 setahun.

Menurutnya, projek yang bermula Februari 2006 itu melibatkan pemasangan paip di dasar laut sepanjang 22 kilometer dari Bukit Bubus, Besut ke Pulau Perhentian Besar dan pembinaan tangki air berkapasiti 1.82 juta liter di pulau itu.

“Selain pembinaan tangki air berkapasiti 0.75 juta liter di Bukit Bubus, termasuk dalam projek berkenaan pemasangan paip kepada pengguna sepanjang 4 kilometer di Pulau Perhentian Kecil dan 1 kilometer di Pulau Perhentian Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Pulau Perhentian daripada Jabatan Bekalan Air kepada SATU di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husain Embong.

Tambah Dato’ Mat Razali, projek berkenaan memakan masa berikutan pihak pemaju melaksanakan pembinaan mesra alam bagi menjaga terumbu karang di taman laut serta kawasan hutan berbukit di kedua-dua pulau itu.

“Pihak kementerian memaklumkan, projek bekalan air bersih di Pulau Perhentian ini adalah yang terbesar di Malaysia pernah dilaksanakan dan ia mampu membekalkan air terawat untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini katanya, penduduk dan pengusaha pelancongan di pulau berkenaan menggunakan bekalan air melalui loji air bawah tanah yang dibina oleh SATU di Pulau Perhentian Besar.

“Bagaimanapun, loji itu tidak dapat menampung keperluan penduduk terutama pada musim kemarau selain airnya yang berasa payau dan penggunaan minyak diesel turut mendedahkan kepada faktor pencemaran di taman laut,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...