Kesah kanak-kanak TADIKA Kemas di Terengganu suatu ketika dahulu yang terpaksa belajar di pondok usang angkara tidak dibenarkan berada di premis kerajaan negeri sewaktu Pas berkuasa...mungkin kanak-kanak ini sudah menjadi remaja sekarang (belasan tahun). Mungkin kerana sudah kehabisan modal, kini pemimpin Pas mula mendendangkan lagu lama bagi menyedapkan halwa telinga rakyat Terengganu, apabila mereka melancarkan Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’. Kononnya pelancaran manifesto itu merupakan strategi parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang makin banyak diperkatakan kebelakangan ini dan sesetengahnya sudah pun meletakkan tarikh pilihan raya. Sebenarnya, manifesto tersebut tidak lebih daripada sekadar usaha Pas untuk memancing undi bagi meraih sokongan rakyat kerana mereka sedar kepercayaan rakyat kepada Pas kian pudar. Dengan pelbagai isu melanda parti itu, termasuk ketelanjuran pemimpinnya mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati rakyat, mereka perlu mencari jalan supaya rakyat kembali percaya kepada Pas. Ingatan rakyat Terengganu pasti masih segar dengan pelbagai kezaliman yang dilakukan pemimpin Pas sewaktu mereka berkuasa di negeri ini, kira-kira 10 tahun lalu. Terengganu mengalami zaman gelap ketika negeri ini diperintah Pas bermula dari tahun 1999 hingga mereka tersungkur kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004. Mengulas manifesto pilihan raya Pas itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata rakyat negeri tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas yang diterajui Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub dalam manifesto yang dijanjikan. “Justeru manifesto yang dikeluarkan Pas itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja. “Penghapusan cukai kediaman dan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan. “Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya. Pada Sabtu lalu, Pas Terengganu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’. Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan Abdul Hadi di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun dan merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin. Dato’ Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan meminta Pas supaya mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara semberono mengumumkan manifesto berkenaan. “Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu. “Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan mandat kembali kepada BN. “Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,” katanya. Sehubungan itu, rakyat Terengganu perlu berfikir sejenak dan mengimbas kembali kezaliman yang dilakukan Pas sewaktu mereka memerintah Terengganu seperti menghalau kanak-kanak dari Tadika, menghentikan elaun bayaran kepada guru-guru agama dan penghafal al-Quran, merampas balai raya dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan menafikan hak rakyat memiliki tapak rumah. Terlalu banyak kekejaman yang dilakukan mereka kepada rakyat bukan penyokong parti itu semasa mereka memerintah Terengganu. Selepas itu, barulah rakyat boleh membuat keputusan sama ada mahu mempercayai manifesto Pas itu dan mereka ‘ditipu’ sekali lagi atau menolak manifesto berkenaan yang hanya bertujuan mengaburi mata rakyat. Tepuk dada, tanya selesa. Usah biarkan kita ditipu Pas sepanjang masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan