Sabtu, 16 Jun 2012

KEMAMAN - Yayasan Terengganu (YT) bakal mengagihkan sebanyak RM1.5 juta kepada 2,572 anak watan Terengganu yang berjaya menyambung pelajaran ke peringkat matrikulasi dan diploma pada tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak RM929,500 diberi kepada 1,851 pelajar matrikulasi yang menerima RM900 setiap orang manakala sebanyak RM542,250 pula kepada 721 pelajar Diploma yang menerima RM750 setiap orang.     Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman berkata sumbangan wang tunai itu diharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa bagi peringkat awal kemasukan anak mereka ke pusat pengajian tinggi.     "Kerajaan negeri Terengganu berharap pelaburan besar dalam bidang pendidikan iaitu sejumlah RM340 juta setahun akan melahirkan anak muda yang cemerlang, aset negeri yang meneruskan kegemilangan Terengganu pada masa depan," katanya.     Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Sukan Masiswa Zon Pantai Timur di kampus Kolej Universiti TATI dekat Teluk Kalong di sini hari ini.    Seramai 1,400 pelajar dari 16 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dari Pantai Timur menyertai karnival itu dari hari ini hingga Ahad.     Selain itu, Ahmad Razif turut menasihati pelajar IPT supaya memahami isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditimbulkan pembangkang supaya mereka dapat berfikir secara matang dan rasional.     "Kebanyakan pelajar yang mendesak agar PTPTN dihapuskan itu terdiri daripada mereka yang tidak cemerlang di IPT, malah seorang daripada sembilan pelajar di Mesir yang ditarik balik biasiswa oleh YT sebelum ini didapati gagal dalam pelajaran.     "Pelajar yang cemerlang tidak pula terlibat dengan bantahan seumpama itu kerana mereka yang berkelulusan kelas pertama secara automatiknya akan ditukar status daripada pinjaman kepada biasiswa," katanya. - Bernama
Terengganu terpilih selaku hos bagi Pertandingan Robocon Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pada 12 hingga 17 Julai ini. Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan Sirim bertemakan ` In Pursuit of Peace and Prosperity’ (Peng On Dai gat) bakal disertai 64 pasukan yang terdiri daripada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Inovasi Khas), Encik Fadli Yusof Zakaria, berkata penganjur mensasarkan program kali ini bakal dikunjungi 10,000 pelawat dari seluruh Malaysia. Katanya, acara bermula dengan pendaftaran dan sesi cubaan pada 12 Julai, manakala hari berikutnya pada 14 Julai hingga 16 Julai dijalankan proses saringan, sebelum pertandingan akhir dan penutup pada keesokannya (17 Julai). “Pertandingan robot yang mula dilaksanakan sejak 10 tahun lalu itu disasarkan untuk pelajar mahasiswa institusi pengajian tinggi di rantau Asia Pasifik bertujuan mewujudkan persahabatan di kalangan golongan muda yang mempunyai minat yang sama dalam meningkatkan daya kreativiti terhadap bidang Sains dan teknologi. “Ia juga membantu menjana minda kreatif dan inovatif, selain meningkatkan kejuruteraan awal dan teknologi penyiaran di rantau ini,” katanya. Beliau berkata, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka bakal merasmikan program penutup serta penyampaian hadiah pertandingan itu nanti. Menurutnya, pemenang peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong, selaku hos buat kali-11 bagi pertandingan `ABU Asia-Pacific Robot Contest 2012’.
Cadang 10,000 lagi rumah rakyat Terengganu KEMAMAN 11 Jun - Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menyediakan manifesto tambahan selain manifesto Pusat bagi menawarkan lebih banyak kebaikan untuk negeri ini dan kesejahteraan hidup rakyatnya. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ia termasuk cadangan membina 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun jika BN terus diberi kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak. Beliau menarik perhatian, secara umumnya, kerajaan negeri akan melakukan penambahbaikan terhadap apa yang telah dilaksanakan dan pendekatan baru mengikut kesesuaian keadaan. "Secara prinsipnya, manifesto peringkat nasional akan dipersetujui semua BN negeri tetapi tentulah satu negeri berbeza dengan keperluan di negeri lain. Jadi kita akan menghalusi apa yang boleh dilakukan. ''Kita mahu memperincikan perkara itu supaya kita boleh melaksanakannya sesuai dengan kehendak di peringkat negeri dan menambah perkara-perkara yang ada kaitan dengan Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek perumahan Taman Koperasi Perdana yang dibangunkan Koperasi Pembangunan Daerah (KPD) Kemaman Berhad di Kampung Pasir Minal, Binjai dekat sini kelmarin. Projek di atas tapak seluas 19 hektar itu melibatkan pembinaan 250 unit rumah teres satu tingkat, rumah berkembar setingkat, rumah teres dua tingkat dan banglo dua tingkat. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pengerusi koperasi terlibat, Ab. Ghani Azahari. Ahmad berkata, janji-janji itu berdasarkan kemampuan kerajaan negeri untuk menunaikannya dan rumah merupakan salah satu keutamaan untuk diperluaskan bagi memenuhi keperluan rakyat. "Sehingga kini, kira-kira 8,000 unit rumah telah siap dibina dan bakinya akan diteruskan sehingga tahun depan. Selepas itu sebanyak 10,000 unit lagi akan kita bina," ujarnya. Menyentuh mengenai penglibatan koperasi dalam pembangunan hartanah, beliau berkata, mereka perlulah mendapatkan rakan kongsi atau pemaju berwibawa bagi mengelak berlakunya projek terbengkalai. ''KPD Kemaman boleh dijadikan contoh kerana mampu menyiapkan projek mengikut tempoh yang ditetapkan dengan kualiti yang baik," ujarnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...